YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah berkesempatan hadir ke Festival Kesenian al-Quran Sejagat Restu di Putrajaya.

Beliau turut membuat lawatan ke kilang percetakan al Quran kedua terbesar dunia iaitu Nasyrul Quran yang turut terletak dalam kompleks yang sama.

Dalam ucapan ringkas, beliau menyebut bahawa Malaysia mengecam tindakan membakar kitab suci al Quran yang dilakukan seorang pemimpin garis kanan Sweden baru-baru ini.

Justeru itu, Malaysia bertekad dalam masa singkat untuk mencetak dan mengedar satu juta naskah al-Quran ke seluruh dunia.

Ia turut akan disusuli program-program ke arah penghayatan dan pemahaman al-Quran dengan mesej risalah yang jelas.

Kita tidak menganjurkan untuk menjawab dengan sikap biadab dan keganasan, malah kita memilih untuk berikhtiar dengan meningkatkan pemahaman ke atas al Quran. Penegasan rahmah dan kasih sayang di dalam al Quran mesti disemangati setiap jiwa orang Islam.Kerajaan turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada Kompleks Nasyrul Quran bagi melancarkan operasi percetakan Al-Quran.