YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan hadir sebagai panelis dalam forum ‘Bloomberg’s Recovery and Resilience: Spotlight on Asian Business’ di Singapura. Turut bersama dalam sesi tersebut ialah Menteri Kewangan Indonesia, Ibu Sri Mulyani dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Standard Chartered Bank, Bill Winters.

Dalam sesi yang padat tersebut, mereka telah membincangkan tentang potensi ASEAN pasca pandemik di ambang pergolakan geopolitik, krisis iklim dan jurang pembangunan infrastruktur.

Mereka juga membincangkan cabaran besar yang dihadapi ekonomi-ekonomi serantau antaranya tekanan inflasi- kenaikan harga makanan dan tenaga. Susulan tekanan inflasi di peringkat global, bank-bank pusat di negara-negara maju telah menaikan kadar faedah maju terutamanya peningkatan drastik oleh Bank Pusat Amerika Syarikat, yang memacu peningkatan nilai mata wang AS. Ini menyebabkan nilai mata wang kebanyakan negara di rantau ini menyusut berbanding dollar AS.

Beberapa perkara yang telah beliau kongsikan adalah inisiatif-inisiatif responsif, bertanggungjawab dan reformis yang dijalankan oleh Kementerian Kewangan sejak Mac 2020, yang telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi positif untuk tiga suku berturut-turut, dan merekodkan pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua 2022- tertinggi di rantau Asia Tenggara.
Bergerak ke hadapan, Malaysia perlu memastikan bahawa momentum pertumbuhan ekonomi terus disokong supaya pertumbuhan yang inklusif dapat terus dijana dan dinikmati seluruh rakyat Malaysia.