Karnival Kewangan MADANI Labuan diadakan pada 16 hingga 17 November 2024 bertempat di Kompleks Ujana Kewangan Labuan.
Pelbagai perkhidmatan terus ditawarkan kepada penduduk di Labuan menerusi penyertaan daripada agensi - agensi dan jabatan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan (MOF) seperti perkhidmatan kaunter perbankan oleh Bank Simpanan Nasional, kaunter Wang Tak Dituntut oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), kaunter Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta kaunter pendaftaran syarikat oleh Perbendaharaan Malaysia Sabah.
Selain itu, terdapat juga pelbagai pameran produk dan penawaran perkhidmatan oleh jabatan dan agensi kerajaan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat dan orang ramai tentang peranan dan fungsi jabatan dan agensi masing-masing.
Turut diadakan adalah taklimat literasi kewangan oleh pakar daripada institusi, syarikat serta agensi dan jabatan kerajaan.
Karnival tersebut telah dirasmikan oleh YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan. Turut hadir adalah YBrs. Puan Nor Azizati Hamzah, Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat MOF, YBrs. Encik Norali Awang Damit, Pegawai Kewangan Persekutuan Perbendaharaan Malaysia Sabah, YBrs. Puan Aspalila Haji Awang Tuah, Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Labuan, YBrs. Encik Johari Mesar, Ketua Pegawai Eksekutif Financial Park Labuan, YBrs. Encik Jaffree Ismail, Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan serta pegawai - pegawai kanan daripada agensi, Jabatan dan MOF.
MOF berharap agar karnival ini dapat mewujudkan hubungan yang lebih erat antara kerajaan dan rakyat serta kerajaan dengan syarikat swasta di samping mencapai aspirasi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.