Pilih bahasa anda
YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan mengadakan kunjung hormat ke atas YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Seri Negeri.

Perbincangan bersama YAB Ketua Menteri Melaka menyentuh potensi Melaka sebagai hab industri yang strategik, disokong oleh kedudukannya yang berhampiran dengan koridor pertumbuhan Johor serta keupayaan negeri dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, automotif dan industri berteknologi tinggi. Keperluan meningkatkan kesalinghubungan dan infrastruktur turut diberi perhatian bagi menyokong kemasukan pelaburan baharu serta memperkukuh daya saing negeri.

Aspek pembangunan modal insan turut dibincangkan, termasuk usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi permintaan tenaga kerja berkemahiran serta menangani cabaran mobiliti, perumahan dan pengekalan tenaga kerja dalam sektor perindustrian. Perbincangan juga meneroka potensi pembangunan industri pertahanan serta penyediaan infrastruktur dan kemudahan bersesuaian bagi menyokong penganjuran acara berskala besar yang mampu menjana aktiviti ekonomi baharu.
Dapatan daripada perbincangan ini membantu memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Melaka, supaya langkah yang dipertimbangkan melalui Belanjawan 2027 dapat menyokong pembangunan wilayah yang lebih seimbang, tersusun dan berimpak kepada rakyat.

Pandangan dan cadangan orang ramai bagi Belanjawan 2027 juga amat dialu-alukan melalui Portal Cadangan Belanjawan di belanjawan.mof.gov.my, sebagai sebahagian daripada proses libat urus dalam penyediaan Belanjawan 2027.