Pilih bahasa anda
Dalam rangka Jelajah Belanjawan 2027 Negeri Perlis, YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan mengadakan kunjung hormat kepada YAB Tuan Abu Bakar Hamzah, Menteri Besar Perlis di Pejabat Menteri Besar.

Kunjung hormat ini disusuli dengan Mesyuarat Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 Negeri Perlis bagi membincangkan projek keutamaan serta strategi pembangunan ekonomi negeri. Sesi berkenaan memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk mengemukakan pandangan dan cadangan secara langsung kepada Kementerian Kewangan.

Setiap negeri mempunyai kekuatan, potensi dan keperluan pembangunan yang berbeza. Justeru, perancangan pembangunan negara perlu mengambil kira keadaan setempat, termasuk peluang untuk merancakkan aktiviti ekonomi, menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Perlis.

Dapatan daripada mesyuarat ini membantu memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, supaya langkah yang dipertimbangkan melalui Belanjawan 2027 dapat menyokong pembangunan wilayah yang lebih seimbang, tersusun dan berimpak kepada rakyat.
