YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Haji Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan sempena Program Jelajah Bajet 2022 ke Kelantan.
Sewaktu krisis COVID-19 iaitu pada tahun 2020 dan 2021, Kerajaan telah memberi bantuan tunai secara berterusan kepada rakyat Kelantan melalui Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) yang melibatkan hampir 700,000 penerima di mana kesemuanya berjumlah RM2.5 bilion serta Geran Khas Prihatin yang melibatkan hampir 70,000 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berjumlah RM407 juta.

Pemberian kepada Kerajaan Negeri Kelantan juga telah meningkat daripada RM344 juta pada tahun 2021 kepada RM351 juta pada tahun 2022.

Nilai Projek Pembangunan Persekutuan di Kelantan juga telah meningkat daripada RM1.9 bilion pada tahun 2021 kepada RM2.4 bilion tahun pada 2022.
Kerajaan Persekutuan akan terus menyokong usaha-usaha berkaitan kebajikan dan pembangunan Negeri Kelantan demi kesejahteraan #KeluargaMalaysia.