Pilih bahasa anda
Kementerian Kewangan (MoF), menerusi Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat (BKSK), telah mengadakan kunjungan hormat ke negeri Pulau Pinang dan Kedah sebagai tanda penghargaan atas kejayaan kedua-dua negeri tersebut diiktiraf sebagai antara pemenang Kempen Cashless Boleh 5.0.
Kempen yang dilaksanakan bermula Januari 2025 sehingga Disember 2025, merupakan hasil kerjasama MoF dengan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), dengan matlamat memperkukuh dan memperluas penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam sektor awam, sekali gus menyokong agenda pendigitalan perkhidmatan kerajaan.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kedah merekodkan pencapaian cemerlang dalam kategori 'Kerajaan Negeri' bagi Kempen Cashless Boleh 5.0 dengan kadar transaksi tanpa tunai melebihi 90%.
Berikut merupakan 4 negeri teratas yang merekodkan pencapaian terbaik bagi kempen ini:
🥇 Pulau Pinang (> 99%)
🥈 Selangor (> 95%)
🥉 Kedah (> 90%)
🏅 Melaka (> 90%)
Semoga dengan pencapaian ini, negeri Pulau Pinang dan Kedah dapat mengekalkan momentum kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri yang kini lebih pantas, selamat, dan telus ke arah negeri pintar dan digital.
Sempena kunjungan tersebut, hadiah kemenangan telah disampaikan oleh delegasi MoF yang diketuai oleh Tuan Haji Ghazali Hizam, Setiausaha BKSK, kepada YB Dato' Seri Haji Norizan Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan YB Dato' Seri Haji Zulkifli Long, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.