Pilih bahasa anda
Padang Besar memainkan peranan strategik dalam memperlancar pergerakan rakyat dan barangan serta menyokong aktiviti perdagangan rentas sempadan Malaysia–Thailand, sejajar dengan kedudukannya sebagai antara pintu masuk utama negara di sempadan utara.

‘Program Jelajah Belanjawan 2027 Negeri Perlis diteruskan dengan lawatan kerja dan sesi taklimat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar yang disertai oleh YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan. Lawatan turut meliputi kemudahan mesin pengimbas dan Customs Examination Area (CEA) bagi meninjau proses pemeriksaan serta memahami keperluan operasi di lapangan.

Pengurusan dan kawalan sempadan yang cekap penting dalam memperkukuh aspek keselamatan dan penguatkuasaan, di samping memastikan pergerakan barangan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur. Kecekapan proses pemeriksaan turut memberi kesan kepada tempoh pelepasan barangan, kos menjalankan perniagaan serta daya saing aktiviti ekonomi di kawasan sempadan.

Lawatan ini memberi gambaran secara langsung mengenai kapasiti kemudahan, aliran proses serta keperluan operasi di lapangan, sekali gus membantu mengenal pasti ruang penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan bagi memperkukuh pengurusan sempadan, memudah cara perdagangan dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk memainkan peranan dalam proses penyediaan Belanjawan 2027 dengan mengemukakan pandangan dan cadangan melalui Portal Cadangan Belanjawan di belanjawan.mof.gov.my.