Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Foto

Lawatan Teknikal Ke Inokom, Kulim

Lawatan Teknikal Ke Inokom, Kulim

Dalam kerangka Ekonomi MADANI, pelaburan yang berkualiti bukan sekadar membawa masuk modal, tetapi perlu membina keupayaan negara melalui pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan pengukuhan syarikat tempatan.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah meninjau operasi Inokom di Kulim, sebuah hab pemasangan automotif seluas 200 ekar yang kini menghimpunkan 7 jenama dan 29 model, dengan lebih 530,000 unit kenderaan telah dipasang sejak mula beroperasi dengan kadar eksport mencecah 20%. 

Antara yang menjadi tumpuan ialah fasiliti pemasangan Porsche pertama di luar Eropah, yang dilancarkan pada 2022 dan diperluas kepada 11,000 m² pada 2024 bagi pemasangan Cayenne S E-Hybrid Coupé. Sehingga Mac 2026, lebih 5,000 unit model tersebut telah dipasang di Kulim. Di sebalik pencapaian ini ialah tenaga kerja Inokom yang 100% rakyat Malaysia, termasuk kisah Eisqil Yuliana, yang memulakan kerjaya melalui program PROTÉGÉ Sime pada 2019 sebelum menyertai Inokom sebagai jurutera proses dan kini mengetuai Kejuruteraan di Porsche Production Plant. 

Manfaatnya turut mengalir kepada ekosistem tempatan, dengan kira-kira RM3 bilion sumbangan kepada vendor tempatan merangkumi komponen, logistik dan pelbagai perkhidmatan sokongan. Pertumbuhan syarikat tempatan bersama pengeluar global ini mencerminkan kesan pengganda yang ingin dipacu melalui pendekatan capital-to-capabilities melalui program GEAR-uP di bawah kerangka Ekonomi MADANI: memperkukuh sektor strategik, memindahkan pengetahuan, membangunkan bakat Malaysia dan membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk naik ke rantaian nilai. Inilah usaha untuk menaikkan siling ekonomi sambil menaikkan lantai rakyat melalui pekerjaan, kemahiran dan peluang yang lebih baik. 

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah turut merakamkan penghargaan kepada pihak Sime, Sime Motors, Inokom dan Porsche atas perkongsian serta kerjasama sepanjang lawatan.

Arkib Foto