Kementerian Kewangan telah menerima penarafan tertinggi PLATINUM bagi pengurusan aduan berkesan dalam Majlis Apresiasi Penarafan Pengurusan Aduan Awam Kementerian Tahun 2025 anjuran Biro Pengaduan Awam yang diadakan di Putrajaya.

YBhg. Dato' Zamzuri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) mewakili Kementerian menerima pengiktirafan itu yang disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
Penarafan ini adalah hasil naziran yang dilaksanakan BPA bagi tempoh satu bulan bermula 1 Julai hingga 31 Julai 2025. Pengiktirafan Platinum yang menerima markah penilaian dalam julat 90% hingga 100% merangkumi tindakan proaktif dalam pengurusan aduan, penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Dalaman, mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengaduan Awam Kementerian (JKTPAK), penyediaan latihan dan pendedahan kepada pegawai penyiasat aduan dan galakan terhadap penggunaan pembelajaran kendiri.

Tahniah dan syabas diucapkan Pasukan Pengurusan Aduan MoF yang terdiri daripada pegawai-pegawai aduan bahagian, bahagian pengurusan aduan di peringkat jabatan dan agensi serta seluruh warga MoF yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi tinggi dalam memperkukuh tadbir urus penyampaian perkhidmatan yang responsif, telus dan berintegriti.