YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya di atas jemputan untuk menghadiri Majlis Cabutan Undi Kerja Berkala Pavemen 2022 bagi Daerah Kuala Selangor.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan tambahan Perbelanjaan Pembangunan bagi Kerja-Kerja Penyenggaraan Berkala Pavemen di Jalan Persekutuan Seluruh Malaysia berjumlah RM130 juta.

Peruntukan tersebut diharap dapat membantu kontraktor-kontraktor kecil menjana pendapatan di dalam keadaan pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19. Kerajaan sentiasa komited dalam membantu perniagaan untuk terus berkembang dan menjadikan mereka berdaya maju.

Sebagai contoh, melalui Bajet 2022, Kerajaan telah memperuntukkan RM2.9 bilion yang dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 ke G4 di seluruh negara untuk melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana. Peruntukan tersebut antaranya melibatkan projek selenggara jalan, baik pulih infrastruktur dan peralatan usang universiti awam, politeknik dan kolej komuniti serta projek-projek lain melibatkan ameniti sosial di luar bandar.

Usaha sebegini akan ditambah baik dalam #Bajet2023 bagi memanfaatkan Keluarga Malaysia.
