Pilih bahasa anda
Pasaran harta tanah Malaysia terus menunjukkan daya tahan pada separuh pertama 2026, dengan nilai transaksi melebihi RM105 bilion, disokong oleh harga yang kekal stabil, aktiviti pembinaan yang positif serta pertumbuhan dalam beberapa subsektor.
Sempena Pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2026 di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Selangor, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II menegaskan bahawa asas ekonomi negara yang kukuh serta langkah strategik Kerajaan MADANI terus menyokong kestabilan dan daya tahan pasaran harta tanah.
Antara perkembangan utama, subsektor kediaman kekal mendominasi pasaran dengan 59.3% daripada keseluruhan transaksi, manakala Indeks Harga Rumah Malaysia mencatat pertumbuhan tahunan 0.9%. Aktiviti pembinaan bagi beberapa segmen termasuk harta tanah kedai, pangsapuri khidmat dan industri turut menunjukkan pertumbuhan positif.
Kerajaan terus memperkukuh akses kepada pemilikan rumah, termasuk melalui peningkatan jaminan kerajaan sehingga RM20 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) serta pelanjutan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama untuk hartanah berharga sehingga RM500,000 sehingga 31 Disember 2027.
Laporan Pasaran Harta H1 2026 boleh diakses melalui portal rasmi NAPIC di napic.jpph.gov.my.