YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah meluncurkan ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ iaitu kerangka ekonomi yang menggariskan dua fokus utama.
Pertama, menstruktur semula ekonomi ke aras Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan kedua, meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.
‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ adalah sebagai wadah mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dan menjadi satu wawasan untuk kita membina Malaysia yang lebih baik untuk kita dan anak-anak kita. Wawasan ini akan dibina berasaskan nilai-nilai MADANI dan memerlukan penggemblengan seisi masyarakat Malaysia untuk merealisasikan visi ini.
Ekonomi MADANI yang memandang ke hadapan dalam skop yang lebih luas menetapkan tujuh penanda aras utama sebagai sasaran jangka masa sederhana yang ingin dicapai.
Ianya juga akan menjadi induk kepada beberapa lagi dasar khusus yang akan diumumkan kelak antaranya termasuklah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
Inilah yang ingin beliau lihat. Malaysia yang maju, Malaysia yang terangkat sebagai tatanan yang adil dan saksama, Malaysia yang tersohor negara merdeka dan berjaya. Denyut nadi dan aspirasi rakyat segenap Malaysia akan tetap menjadi perhatian Kerajaan Perpaduan ini.
Majlis yang berlangsung di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara, Kuala Lumpur turut dihadiri YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Dan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara dan barisan jemaah Menteri.