YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, telah merasmikan Majlis Peluncuran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seberang Perai, Pulau Pinang.
Turut hadir, YAB Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang; YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri; YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II; YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan; YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; serta barisan pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan.
UTC Seberang Perai merupakan UTC ke-24 di Malaysia dan yang kedua di Pulau Pinang. Terletak di Terminal Pengangkutan Penang Sentral, Butterworth, UTC ini kini beroperasi sepenuhnya dan dijangka memberi manfaat kepada lebih sejuta penduduk di kawasan sekitar Seberang Jaya.
Antara kemudahan nilai tambah yang disediakan ialah Kiosk Sentuhan MADANI (KSM) — yang merupakan kiosk keempat di Malaysia dan pertama di luar Lembah Klang. Selain itu, turut disediakan Hab Informasi Bantuan Tunai (Individu) yang mengurus pelbagai bentuk bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Budi MADANI RON95 (BUDI95) serta bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Turut diperkenalkan di UTC ini ialah Hab Kerjaya Sektor Awam–Swasta, hasil kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan MyFutureJobs, bagi membuka lebih banyak peluang kepada pencari kerja tempatan mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat kerjaya secara langsung.
UTC ini turut menampilkan Sistem Penggiliran Pintar (Queue Management System – QMS) bersepadu, ruang kerja terbuka serta peralatan moden bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Kementerian Kewangan komited memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam kekal efisien, moden dan berimpak tinggi, seiring aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat serta mempertingkat kualiti perkhidmatan kerajaan di semua peringkat.