Select your language
Penduduk Kampung Pulau Betong kini menikmati manfaat daripada 27 projek pembangunan fizikal dan pembangunan komuniti di bawah Program Kampung Angkat MADANI (KAM) Kementerian Kewangan.
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II turun padang sempena penyerahan projek Kampung Angkat MADANI Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang. Beliau berkesempatan meninjau hasil pembaikan bumbung dan melakukan pecah tanah bagi pembinaan blok tambahan 2 bilik darjah pra sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SK Tan Sri Awang Had Salleh, menyantuni pengusaha Homestay yang telah dibaik pulih, meninjau muara dan kuala Sungai Pulau Betong serta merasmikan dewan dan perpustakaan desa yang telah siap dinaik taraf sepenuhnya.
Projek lain yang telah siap termasuk pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung untuk murid sekolah agama, naik taraf masjid, pembinaan pusat penjaja, dataran komuniti serta penambahbaikan kawasan yang sesuai sebagai insta-spot pulau.
Program pemerkasaan komuniti seperti Kursus Pembaikan Enjin Bot, Bengkel Pembaikan Telefon Bimbit, Bengkel Batik dan Bengkel Masakan turut membuka peluang kepada belia dan golongan B40 untuk menjana pendapatan dan menceburi bidang keusahawanan.
Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif Kerajaan yang memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat melalui kemudahan yang lebih selesa, selamat dan mesra rakyat, di samping mengukuhkan ekonomi setempat serta pembangunan komuniti yang inklusif.
Di bawah Belanjawan 2026, Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi keseluruhan program Ikhtiar MADANI termasuk RM200 juta untuk Program Kampung Angkat MADANI melibatkan 500 kampung di seluruh negara.