YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan bersama YB Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan Dato’ Seri Nazir Ariff, Pengerusi SME Bank di mana telah menyerahkan Surat Penerimaan SME Relief Programme (SRP) PEMULIH Fasa 2 kepada para pelanggan SME Bank yang layak.

SME Bank telah melancarkan Skim SRP sejak Oktober 2020 dan sehingga kini skim tersebut telah dilanjutkan sebanyak dua kali. SRP PEMULIH adalah lanjutan tempoh moratorium sehingga 12 bulan dan lanjutan tempoh pembiayaan asal ditambah ke 36 bulan. Sebanyak dua sektor yang disasarkan ialah pelancongan dan pengangkutan awam yang merupakan antara sektor yang paling terkesan akibat COVID-19. Seramai 4,142 pelanggan dengan nilai pembiayaan RM5.8 billion layak untuk SRP PEMULIH.

Beliau sebelum ini turut menekankan bahawa Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) seperti SME Bank memainkan peranan yang penting dan strategik dalam usaha menyokong pemulihan ekonomi negara. Inisiatif seperti SRP PEMULIH dapat membantu Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) melalui pemberian moratorium atau penyusunan dan penjadualan semula baki pembiayaan. Usaha sebegini juga adalah sejajar dengan semangat #KeluargaMalaysia dan memenuhi objektif DFI untuk membantu membangunkan sosioekonomi rakyat.

Aspek kelangsungan perniagaan terutamanya sektor PKS akan terus diberi penekanan di dalam #Bajet2022 demi kesejahteraan #KeluargaMalaysia.