Pilih bahasa anda
Majlis Perasmian Pesta Sukan Kementerian Kewangan (PSKK) Kali Ke-47 Tahun 2026 telah berlangsung dengan penuh meriah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor, Shah Alam, dengan membawa tema “Memacu Prestasi, Membina Legasi”.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.
Turut hadir ialah YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); serta YBhg. Dato’ Zamzuri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar).
PSKK 2026 merupakan anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kementerian Kewangan (MKSAKK) dengan KWSP selaku Pengelola Bersama dan Tuan Rumah. Kejohanan ini berlangsung selama sembilan hari, bermula 14 hingga 22 November 2026.
Penganjuran edisi kali ini lebih istimewa kerana turut bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-75 KWSP, sekali gus menjadikan PSKK 2026 sebagai medan bermakna untuk meraikan semangat kesukanan, kebersamaan dan kecemerlangan warga MoF.
Seramai 2,500 peserta dan pegawai daripada 13 agensi di bawah MoF mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini yang mempertandingkan 14 acara sukan.
Kemeriahan malam perasmian turut diserikan dengan perbarisan kontinjen serta pertandingan Ratu Placard dan Persembahan Terbaik yang memperlihatkan kreativiti, semangat berpasukan dan keunikan identiti setiap agensi.
Lebih daripada sekadar medan pertandingan, PSKK 2026 menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan silaturahim, menyemarakkan semangat kesukanan dan memupuk budaya kerja berpasukan dalam kalangan warga MoF serta jabatan dan agensi di bawahnya.
Semoga semangat kesukanan, disiplin dan kebersamaan yang diterapkan sepanjang kejohanan terus menjadi inspirasi dalam memacu kecemerlangan perkhidmatan kepada rakyat dan negara.