YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan bersama-sama dengan YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri dalam majlis perasmian penubuhan Yayasan MySDG yang akan mengawal selia Dana Amanah MySDG.

Penubuhan yayasan dan dana amanah tersebut direalisasikan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mempercepat agenda lestari negara, selaras dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari yang digariskan dalam Agenda Pembangunan Lestari 2030.

Dana MySDG juga akan menjadi satu mekanisme kewangan yang membolehkan lebih ramai pihak untuk turut serta dalam usaha mencapai matlamat SDG. Menerusi #Belanjawan2021, Kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta sebagai dana permulaan untuk menggerak rangka kerja dan polisi SDG untuk Malaysia.

Dalam masa terdekat, Yayasan MySDG akan memberi fokus kepada pembiayaan program yang akan membantu #KeluargaMalaysia pulih semula daripada impak pandemik COVID-19, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta biodiversiti.

Dengan usaha berterusan pelabagai pihak, agenda kelestarian negara akan dapat dicapai dan secara langsung menjamin bukan sahaja kesejahteraan #KeluargaMalaysia, malah juga khazanah alam negara.
