Pilih bahasa anda
Perjumpaan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bersama warga Kementerian Pengangkutan Malaysia yang berlangsung di Dewan Sentral RAC, Putrajaya turut disertai oleh warga Kementerian Kewangan (MoF) secara dalam talian.
Dalam amanatnya, YAB Dato’ Seri Anwar menyeru semua pihak terutamanya penjawat awam memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat dan pemahaman yang tepat kepada rakyat berkenaan impak krisis Asia Barat.
Beliau juga menekankan bahawa kerajaan masih mengekalkan harga minyak bersubsidi bagi kesejahteraan rakyat.
Sebelum itu, dalam sesi amanat kepada warga MoF secara bersemuka di Dewan Utama, MoF, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II berharap konflik Asia Barat yang sudah memasuki minggu keenam dapat diselesaikan dengan segera dan kesepakatan dapat dicapai.
Beliau juga menekankan keutamaan kerajaan pada ketika ini adalah untuk memastikan rantaian bekalan stabil; iaitu bekalan tenaga terjamin dan bekalan makanan mencukupi. Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan kini menanggung subsidi sebanyak RM6.5 billion bagi setiap bulan. Oleh itu, beliau berharap semua pihak dapat memahami dan berganding bahu dengan kerajaan dalam menghadapi impak krisis Asia Barat.
Turut hadir YB Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan, YBhg. Dato’ Zamzuri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), YBhg. Datuk Ramzi Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) dan YBhg. Datuk Dr. Shahrazat Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan).