Pilih bahasa anda
Perjumpaan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bersama-sama warga Kementerian Komunikasi telah berlangsung di Dewan Serbaguna, Menara Komunikasi, Putrajaya, bersempena perhimpunan bulanan bagi Jun tahun 2026.
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II bersama barisan Pengurusan Tertinggi Kementerian Kewangan turut mengikuti sesi ini secara dalam talian di Dewan Utama, MoF bagi mendengar amanat yang disampaikan.
YAB Dato’ Seri Anwar dalam ucapannya menekankan agar badan-badan penguatkuasaan mempertingkatkan usaha pengawasan dan mengambil tindakan tegas bagi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang termasuk penyalahgunaan pas pelancongan untuk menjalankan aktiviti perniagaan.
Beliau juga menyeru kerjasama semua pihak dan sesi libat urus mestilah dilaksanakan secara menyeluruh.
Sebelum itu, dalam sesi amanat kepada warga MoF secara bersemuka, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah menyatakan bahawa MoF telah mempergiatkan sesi libat urus bersama pelbagai agensi pembiayaan dan institusi kewangan bagi meneliti sokongan yang boleh diberikan kepada usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana serta komuniti yang memerlukan sokongan kewangan.
Beliau juga menyahut pelaksanaan program Mikro Kredit Turun Padang di mana sesi sebegini dapat mendekati para peniaga dengan matlamat yang jelas untuk memberi penerangan mengenai proses permohonan yang dipermudah, syarat pembiayaan tidak membebankan dan pembiayaan diberi secara adil serta munasabah. Sesi secara langsung bersama pemegang taruh dan kumpulan sasar ini, bukan sahaja membolehkan kerajaan memahami keperluan sebenar rakyat, malah membantu memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan sentiasa relevan dan berkesan. Sesi seperti ini juga dapat membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan MoF.
Beliau turut mengingatkan warga MoF untuk menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh integriti dan profesional agar MoF kekal berwibawa untuk meneraju pengurusan kewangan negara serta memacu kesejahteraan rakyat.
Turut hadir YB Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan, YBhg. Dato’ Zamzuri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) dan YBhg. Dato’ Sri Ab Rahim Ab Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan).