Select your language
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II bersama warga Kementerian Kewangan (MoF) telah menghadiri Perjumpaan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dihoskan oleh Kementerian Dalam Negeri bagi Februari 2026 sempena bulan Ramadan. Program ini telah berlangsung secara hibrid di Dewan Galeri, Kompleks Kementerian Kewangan.
Turut hadir YB Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan serta YBhg. Datuk Dr. Shahrazat Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan).
Sebelum itu, dalam sesi amanat kepada warga MoF, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah menekankan keberkesanan dasar kerajaan amat bergantung kepada kepantasan bertindak serta kecekapan pelaksanaan. Tegas beliau lagi, Pejabat Belanjawan Negara dan Bahagian Perolehan Kerajaan perlu memastikan inisiatif yang menjadi titik sentuh rakyat, termasuk menaik taraf klinik daif, membaiki jalan raya dan menambahbaik infrastruktur pendidikan, disegerakan pelaksanaannya.
Di samping itu, beliau turut menyeru agar warga MoF menjadi penggerak utama dalam meningkatkan pendapatan negara, penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, tatakelola yang cemerlang dan jaringan keselamatan sosial perlu diperkasa agar tiada sesiapa pun yang tercicir. Dalam pada itu, beliau juga menyatakan hasrat supaya kementerian ini menjadi model terbaik dalam aspek pengurusan fiskal dan pentadbiran yang bersih.
Seterusnya, sesi tazkirah Ramadan disampaikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz Ali@Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan yang bertajuk Madrasah Islah. Pengisian sesi tazkirah ini merangkumi kekuatan minda dalam menahan lapar serta pengurusan masa di bulan Ramadan.
Akhir sekali, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan menyeru supaya semua penjawat awam memantapkan disiplin diri dan mencari kesempatan pada bulan mulia ini untuk mempertingkatkan upaya dalam pelbagai bidang.
Beliau turut menekankan supaya warga penjawat awam meningkatkan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik serta memperbaiki prestasi dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.