YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah hadir di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MOF) bagi bulan Julai dan turut dihadiri warga kementerian.
Antara intipati amanat disampaikan YAB Dato’ Seri Anwar, beliau mengulangi peringatan bahawa ketirisan yang berterusan akan menafikan hak rakyat yang memerlukan bantuan dan pembangunan prasarana.
Beliau turut menyentuh mengenai mobiliti sosial di mana keutamaan diberikan kepada mereka yang kurang bernasib baik agar dapat bersaing dengan lebih adil demi masa depan mereka.
Ikhtiar Kerajaan MADANI, kata YAB Dato’ Seri Anwar ialah untuk meningkatkan mutu hidup rakyat dan memerlukan negara melaksanakan dasar-dasar yang tegas dan adil. Contohnya, mengawal ketirisan sebahagian besar hasil negara dan penyasaran subsidi kepada rakyat.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II; YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan; YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi di bawah MOF.