Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan (MOF) bersama YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Kementerian Kewangan.
Dalam majlis tersebut, beliau menyatakan bahawa pencapaian ekonomi negara berada di landasan yang positif di mana ekonomi negara dijangka bertambah kukuh pada tahun 2024 dengan unjuran pertumbuhan antara 4% hingga 5%.
Antara fakta yang menyokong prestasi ekonomi yang lebih baik tahun ini termasuklah pengangguran turun ke paras 3.3; kadar inflasi rendah dan turun kepada 1.6% untuk suku ke-4 tahun 2023; prestasi eksport menunjukkan tanda pemulihan dengan peningkatan 8.7% selepas menguncup sepuluh bulan sebelumnya (Mac hingga Disember 2023); Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P juga meningkat ke 49.5 mata iaitu tertinggi sejak September 2022 dan; Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) turut kembali meningkat sebanyak 4.3% pada Januari 2024.
Selain itu, Malaysia telah berjaya menarik potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion termasuklah kejayaan dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan di Australia (RM24.5 bilion) serta Jerman dan Perancis (RM46 bilion).
Pesanan beliau kepada warga MOF agar memaknai bulan Ramadan dengan mengukuhkan serta menggilap semula kekuatan, keimanan serta disiplin diri seterusnya berusaha memperbaiki prestasi kerja dan meningkatkan integriti.
Turut hadir, YB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta barisan Pengurusan Tertinggi MOF.