YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan menghadiri dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor kali ke-45.

Tahniah beliau ucapkan kepada PPN Selangor kerana telah berjaya mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM2.87 juta bagi tahun kewangan 31 Disember 2021. Ini adalah peningkatan sebanyak 47 peratus berbanding keuntungan bersih yang dicatatkan bagi tahun kewangan 2020. Syabas beliau ucapkan kerana berjaya mengekalkan prestasi dan pencapaian positif walaupun dalam tempoh yang sukar. Pencapaian sebegini seharusnya dicontohi oleh rangkaian Pertubuhan Peladang yang lain.

Pelaksanaan Pasar Segar Terkawal (PST) dan pemasaran serta jualan secara dalam talian oleh rangkaian Pertubuhan Peladang juga telah terbukti memberi kemudahan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan makanan dengan lebih mudah.

Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara pada 25 Mac 2020 bagi merangka dasar sekuriti makanan secara holistik. Menerusi platform tersebut juga, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 telah dibangunkan dengan mengambil kira isu dan cabaran sekuriti makanan negara. Kesemua dasar dan pelan itu akan saling melengkapi bagi menjayakan usaha negara dalam meningkatkan kemampanan sistem agromakanan.
Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan bekalan makanan bagi rakyat sentiasa mencukupi dan akan memantau harga makanan asas demi mengawal kos sara hidup #KeluargaMalaysia.