Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Foto

Mesyuarat Bersama Ketua-ketua Pegawai Eksekutif GLIC

Mesyuarat Bersama Ketua-ketua Pegawai Eksekutif GLIC

YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mempengerusikan mesyuarat dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Perbincangan ini adalah mukadimah kepada reformasi GLIC dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) agar mereka lebih tertumpu kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

GLIC mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama dengan Kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat terbanyak. Dengan jumlah saiz aset di bawah pengurusan bernilai RM1.84 trilion, yakni hampir sama dengan saiz keluaran dalam negeri kasar (KDNK) nominal Malaysia pada tahun ini, GLIC di Malaysia berupaya menggerak dan melonjak ekonomi Malaysia ke depan.

Semasa sesi tersebut, beliau telah memberi mandat kepada GLIC untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik masing-masing.

Dalam usaha untuk memacu potensi ekonomi Malaysia, beliau juga telah menggariskan bahawa GLIC dan GLC harus menggembleng tenaga untuk menyokong aspirasi negara sebagai destinasi pelaburan dan hab ekonomi Islamik bertaraf dunia, melonjakkan pelaburan di sektor digital dan tenaga boleh baharu, serta menggalak sektor PMKS melebarkan pasaran ke negara-negara serantau.

Beliau menerima baik cadangan-cadangan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif GLIC untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi tempatan. Ini termasuklah menambah baik perbelanjaan daripada kutipan zakat korporat, menjalinkan usaha sama dengan sektor swasta bagi membangunkan penginapan pelajar-pelajar serta menggembleng lebih dana untuk pelaburan di syarikat-syarikat tidak tersenarai dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagi memastikan misi-misi ini tercapai, Kerajaan akan terus mengadakan mesyuarat berkala yang akan dipengerusikan oleh beliau atau YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II untuk memantau pencapaian dan kemajuan inisiatif yang diterajui oleh GLICs. Dengan pendekatan ini, Malaysia akan melangkah lebih cepat ke arah kemajuan yang mampan dan saksama.

 

Arkib Foto

Logo Accessibility