YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) dan mengingatkan ahli-ahli jawatankuasa seyogianya usaha kita untuk merombak pengurusan fiskal negara tidak boleh mendatangkan kesan mendadak kepada ekonomi Malaysia dan rakyat, yang sudah tentu masih lagi bergelumang dalam masalah kos sara hidup tinggi.

Memang benar reformasi fiskal perlu dibuat untuk mengembangkan hasil Kerajaan dan mengurangkan ketirisan daripada perbelanjaan subsidi menyeluruh, agar Kerajaan mempunyai lebih banyak dana untuk perbelanjaan pembinaan prasarana dan bantuan bersasar. Namun, beliau telah menitik berat tentang menjaga rakyat kurang bernasib baik semasa Kerajaan melakukan konsolidasi fiskal berperingkat yang mungkin memedihkan pada mulanya.

Jawatankuasa juga sebulat suara bersetuju mengenai kepentingan dan kesegeraan untuk membentangkan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal (FRA) di Parlimen pada bulan Oktober. FRA yang digubal bersesuaian dengan konteks Malaysia, dijangka akan dapat menambah baik rangka kerja perundangan fiskal negara.

Adalah menjadi mandat Kerajaan Perpaduan untuk senantiasa melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat. Malaysia akan secepat mungkin kembali gah sebagai pelopor ekonomi serantau dengan rakyatnya mempunyai kualiti hidup bermakna, seperti digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI.