Select your language
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas Keterjaminan Tenaga dan Kesan Konflik Asia Barat yang diadakan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya.
Penubuhan Jawatankuasa Khas ini bertujuan menyelaras tindakan kerajaan dalam memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara serta menilai implikasi perkembangan konflik di Asia Barat terhadap ekonomi Malaysia, khususnya dalam memastikan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Jawatankuasa Khas ini dianggotai oleh Kementerian Ekonomi, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Bank Negara Malaysia.
Pendekatan menyeluruh ini penting bagi memastikan pemantauan berterusan terhadap perkembangan global, di samping merangka langkah-langkah proaktif untuk mengurangkan sebarang potensi kesan terhadap bekalan tenaga, harga barangan serta kestabilan ekonomi negara.