Select your language
Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS), yang dipengerusikan secara bersama oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II dan YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan bersetuju dengan empat inisiatif penting bagi menangani kos penjagaan kesihatan swasta yang semakin meningkat.
Inisiatif yang diumumkan merupakan sebahagian daripada strategi RESET iaitu usaha kolaboratif antara Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia, ahli akademik dan pihak berkepentingan utama daripada sektor swasta untuk menangani inflasi perubatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia supaya dapat diakses dengan lebih mudah, lebih banyak pilihan dan lebih mampan.
Empat inisiatif tersebut merangkumi penerbitan kertas putih mengenai Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (Medical and Health Insurance/Takaful, MHIT) asas, pelancaran bantuan untuk pengguna membuat keputusan, penerbitan kos rawatan perubatan dan Insentif cukai bagi dana kebajikan hospital swasta.
Turut hadir adalah YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor Bank Negara Malaysia dan YBhg. Datuk Dr. Shahrazat Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan).
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai RESET dan JBMKKS, boleh lawati mof.gov.my/ms/reset atau hq.moh.gov.my/reset_moh.