YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024 yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.
Mesyuarat Majlis Kewangan Negara kali ini bersetuju dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik peruntukan pemberian serta sokongan kepada Kerajaan Negeri bagi tahun 2024.
Persetujuan telah dicapai agar peruntukan Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri ditingkatkan kepada sekitar RM8.9 bilion ketimbang RM8.3 bilion pada 2023 dan RM8.1 bilion pada 2022.
Bagi Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM39.4 bilion disediakan tahun ini untuk melaksanakan projek-projek pembangunan negeri ketimbang RM36.7 bilion pada 2023 dan RM28.8 bilion pada 2022.
Peningkatan pemberian melibatkan semua negeri di Malaysia dan akan diberikan secara serentak. Peningkatan ini selaras dengan amanah yang beliau pikul selaku Perdana Menteri untuk meningkatkan kesejahteraan semua rakyat Malaysia tanpa mengira batas politik, kaum atau agama.
Kerajaan Persekutuan komited untuk terus bekerjasama dengan semua Kerajaan Negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum. Inilah prinsip manusiawi dan rahmatan lil alamin yang membentuk kerangka Ekonomi MADANI.
Semoga pemberian ini akan digunakan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri untuk menjamin kemaslahatan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan.