Kementerian Kewangan Malaysia (MoF Malaysia) telah menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan APEC (APEC Finance Ministers’ Meeting – FMM) 2025, yang dihoskan oleh Republik Korea selaku Pengerusi APEC tahun ini. Bertemakan “Sustainable Growth and Shared Prosperity in the Region”, mesyuarat ini memberi tumpuan kepada empat bidang keutamaan – Inovasi, Kewangan Digital, Kemampanan Fiskal dan Hala Tuju Baharu Finance Ministers’ Process (FMP) – bagi memperkukuh pertumbuhan inklusif dan ketahanan ekonomi rantau Asia Pasifik.
Delegasi Malaysia diketuai oleh YBhg. Dato’ Zamzuri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar). Malaysia berkongsi pandangan mengenai peranan inovasi dan teknologi digital dalam memperkukuh sistem kewangan, memperluas akses pembiayaan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSMEs) dan masyarakat, serta mempromosi kewangan mampan. Pendekatan Ekonomi MADANI turut diketengahkan sebagai model ke arah pertumbuhan seimbang, progresif dan berpaksikan rakyat.
Penyertaan Malaysia di APEC FMM 2025 mencerminkan komitmen terhadap Wawasan Putrajaya 2040, dengan menumpukan kepada inovasi, keterangkuman dan kemampanan demi kemakmuran bersama di rantau ini. Melalui platform APEC, MoF Malaysia terus memperkukuh kerjasama serantau dalam membentuk dasar ekonomi dan kewangan yang berdaya tahan, mampan dan berpandangan jauh.