Pilih bahasa anda
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah mempengerusikan Perbincangan Kumpulan Fokus (Focus Group Discussion – FGD) bersama Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang diselaraskan oleh Persatuan IKP Malaysia (Association of Development Financial Institutions of Malaysia – ADFIM).

Sesi ini turut dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan (MoF); serta barisan kepimpinan ADFIM dan IKP.
Dalam konteks penyediaan Belanjawan 2027, perbincangan memberi tumpuan kepada langkah strategik untuk memperkukuh peranan IKP sebagai pemangkin pertumbuhan sektor ekonomi utama, melengkapi peranan bank komersial dalam merapatkan jurang pembiayaan serta memperluas inklusi kewangan.

Perbincangan turut menekankan peranan IKP dalam menyokong pembangunan sektor ekonomi yang kritikal dan strategik, termasuk menyediakan pembiayaan kepada segmen yang kurang mendapat akses kepada pembiayaan (underserved segments) serta memainkan peranan secara anti-kitaran (counter-cyclical) bagi menyokong kestabilan ekonomi dalam tempoh yang mencabar.
Pada masa yang sama, pelaksanaan mandat pembangunan ini perlu disokong oleh pengurusan yang berhemat, tatakelola yang kukuh serta pengurusan risiko yang berkesan bagi memastikan kemampanan institusi dalam jangka panjang.
MoF komited untuk terus memperkukuh sinergi dan dialog konstruktif bersama IKP dalam menyokong pembangunan ekonomi negara yang mampan, berdaya tahan dan inklusif.