Select your language
Kementerian Kewangan (MoF) telah melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MoF 2026 di Sekolah Kebangsaan Jalan Tanjung, Sijangkang, Selangor dengan penyertaan hampir 90 orang warga MoF sebagai sukarelawan.
Program ini dilaksanakan susulan kejadian ribut yang melanda kawasan Sijangkang pada 15 Oktober 2025 yang telah menyebabkan kerosakan kepada struktur bumbung serta beberapa fasiliti sekolah. Kerja-kerja pembaikan fizikal baru sahaja selesai dilaksanakan dan pihak sekolah masih memerlukan sokongan bagi melaksanakan kerja pembersihan menyeluruh dan persediaan akhir sebelum sesi persekolahan dibuka semula pada 3 Februari 2026.
Melalui program ini, warga MoF berganding bahu bersama ibu bapa dan guru-guru dalam melaksanakan kerja-kerja pembersihan kelas, bilik khas serta persekitaran sekolah bagi memastikan suasana pembelajaran yang lebih selamat, bersih dan kondusif untuk para murid dan guru-guru.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MoF dalam memperkukuh hubungan bersama masyarakat setempat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
MoF merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua sukarelawan, pihak pengurusan sekolah serta rakan strategik yang telah bersama-sama menjayakan program ini.