Pilih bahasa anda
Program Jelajah Belanjawan 2027 Negeri Sarawak dimulakan dengan lawatan ke tapak projek pembangunan semula sekolah daif di SK Serumbu, Daerah Bau, Kuching bagi meninjau status terkini pelaksanaan projek.
Lawatan diketuai oleh YBhg. Dato’ Zamzuri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), bersama wakil Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pendidikan, pihak sekolah serta Pasukan Belanjawan 2027.
Agenda diteruskan dengan sesi taklimat dan lawatan ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching bagi meneliti keperluan perjawatan dan kemudahan, serta inisiatif yang dapat memperkukuh peranan UTC sebagai pusat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Delegasi turut meninjau ruang agensi penyedia perkhidmatan dan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada petugas.
Program diteruskan dengan sesi libat urus bersama YB Datuk Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, yang turut disertai oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri.
Perbincangan memberi tumpuan kepada cadangan inisiatif Belanjawan 2027 yang boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat serta berpotensi memberikan impak langsung dan bermakna kepada rakyat.