Sebagai usaha memperkukuh kapasiti Pegawai-pegawai Kerajaan yang menduduki Lembaga Pengarah Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) dan Badan Berkanun Persekutuan (BBP), seramai 150 orang Ahli Lembaga Pengarah (ALP) telah menyertai Program Kepimpinan dan Tadbir Urus Baik Lembaga Pengarah Syarikat MKD dan BBP yang dianjurkan oleh Kementerian Kewangan.
YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan I dalam ucapannya berkata, aspek penting yang perlu sentiasa diamalkan adalah pematuhan kepada undang-undang dan peraturan semasa yang berkuatkuasa. Setiap tindakan yang diambil mengutamakan kepentingan syarikat dan BBP, dalam masa sama memastikan kepentingan Kerajaan sentiasa terpelihara.
Program ini selari dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan prinsip tadbir urus atau tata kelola baik yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Turut hadir, YBhg. Dato' Anis Rizana Mohd Zainudin, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) dan YBhg. Dato' Dr. Amiruddin Muhamed, Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan.