YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah berada di New York City dari 14-16 April 2024 dalam sesi bertemu pelabur antarabangsa, pengurus dana dan bank pelaburan untuk berkongsi pandangan tentang kedudukan ekonomi semasa Malaysia dan rancangan kerajaan untuk mengukuhkan lagi kewangan negara dan memudahkan pelaburan.
Antara pelabur yang ditemui termasuklah Brookfield Asset Management, Khazanah Americas, Bank of America dan JPMorgan Chase.
Semasa sesi dialog dengan pelabur pasaran kewangan dan modal, beliau telah berkongsi perkara penting Kerangka Ekonomi MADANI dan bagaimana kerangka ini akan mendorong Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang berdaya saing di peringkat global.
Keyakinan pelabur lebih kukuh berikutan pembaharuan fiskal yang dilaksanakan oleh kerajaan, termasuk pengurangan defisit, subsidi bersasar serta Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023.