Sesi Jelajah Belanjawan 2026 ke Negeri Johor telah berlangsung dengan jayanya, diketuai oleh YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan dengan kerjasama strategik daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Bahagian Perancang Ekonomi (BPEN) Johor.
Delegasi Kementerian Kewangan pula diwakili YBhg. Dato' Zamzuri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) dan barisan Pasukan Jelajah Belanjawan 2026.
Sebagai pendedahan langsung ke atas usaha NGO menangani isu sosial gelandangan, sesi lawatan malam diadakan di sekitar Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru yang diberi nafas baharu melalui pengindahan dan penambahbaikan estetika bandar yang dahulunya menjadi sarang golongan gelandangan. Delegasi juga sempat meninjau usaha Sekolah Baroka sebagai ruang pendidikan alternatif dan pengayaan ilmu di pusat bandar Johor Bahru yang menyediakan ruang selamat untuk anak-anak pada waktu malam, dengan pelbagai aktiviti seperti sains, seni, sukan dan teknologi.
Selanjutnya, sesi libat urus bersama hampir 70 orang wakil NGO tempatan pelbagai kategori diadakan di Anjung Singgah, Johor Bahru bagi membincangkan isu-isu strategik, cabaran semasa serta peluang baharu yang berpotensi untuk diaspirasikan sebagai elemen penting kesejahteraan sosial untuk dimuatkan dalam Belanjawan 2026.
Sesi ini turut dihadiri YB Dato' Haji Asman Shah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail @ Md On, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, YBrs. Puan Nordina Haron, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara dan YBrs. En. Nor Hisham Mohd Yusof, Pengarah Pesuruhjaya Persekutuan IRDA.
#Belanjawan2026
#EkonomiMADANI
#RancakkanMADANI
#MalaysiaMADANI