YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan kunjungan hormat dengan Ibu Sri Mulyani Indrawati, Menteri Kewangan Indonesia di Washington.

Mesyuarat-Mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia-IMF tahun ini dipengerusikan bersama oleh Indonesia dan Finland dan Ibu Sri Mulyani telah memainkan peranan sebagai moderator bagi pelbagai perbincangan yang diadakan sepanjang mesyuarat tersebut.

Semasa kunjungan hormat, mereka telah menyentuh pelbagai aspek mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia serta bagaimana dapat diperkukuhkan lagi terutamanya dari segi pelaburan strategik dan industri kewangan.

Selain isu terkini berkenaan pergolakan antara Rusia dan Ukraine, perkara-perkara seperti kedudukan ekonomi sejagat, kesediaan pandemik dan pasca pandemik serta pembangunan kewangan yang mampan, termasuk dasar-dasar untuk beralih ke masa depan lebih mesra alam dan rendah karbon turut dibincangkan.
Mereka juga berkesempatan membincangkan perkembangan semasa mengenai Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat G20 yang akan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Indonesia. Mesyuarat tersebut akan diadakan sempena sesi Mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia-IMF kali ini.
Beliau merakamkan ucapan terima kasih di atas masa yang diberikan serta mengucapkan tahniah dan selamat berjaya dalam menganjurkan Sidang Kemuncak G20 di Bali, Indonesia pada November kelak.