YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan lawatan ke Rumah Iskandar Malaysia sempena sesi jelajah negeri untuk Bajet 2023 di Johor.
Rumah Iskandar Malaysia yang dimajukan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) adalah berkonsepkan perumahan awam yang inovatif, mesra pengguna, dan mampan serta telah dibangunkan sejak tahun 2012. Sebanyak 1,500 unit pangsapuri mampu sewa telah disediakan untuk penduduk berpendapatan rendah dan sederhana rendah (B40 dan M40) yang bekerja di Iskandar Malaysia. Jumlah akumulatif penyewa sejak dibuka 10 tahun lalu melebihi 3,600 orang dan mempunyai kadar penghunian yang tinggi iaitu dengan purata 90 peratus sejak tahun 2017.
Pelbagai kemudahan awam, teknologi hijau dan kawalan keselamatan disediakan. Antaranya ialah gerai, tadika, penjanaan elektrik dari tenaga suria dan 100 peratus kawasan berpagar. Bukan itu sahaja, Rumah Iskandar Malaysia ini juga ialah sebuah perumahan yang mesra OKU, di mana terdapat 32 unit rumah yang telah direka bentuk untuk golongan OKU.
Beliau juga telah berkesempatan menziarahi Encik Wan Faiz dan ibunya yang merupakan OKU dan juga beramah mesra bersama penduduk dan penjaja yang lain.
Kerajaan akan terus memajukan mekanisme untuk memperbanyakkan penyediaan perumahan yang berkualiti dan mampu didiami rakyat biasa. Kementerian Kewangan akan menyusuli jelajah ke semua negeri untuk memahami cabaran yang dihadapi dan mengumpulkan cadangan dari segenap lapisan masyarakat mengenai inisiatif yang sesuai diambil kira di dalam Bajet 2023.