Pilih bahasa anda
Dalam usaha memperkukuh ekosistem data bagi memastikan penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang lebih tepat dan bersasar, Kementerian Kewangan (MoF) menganjurkan Sesi Libat Urus Agensi Pembekal Data STR dan SARA Tahun 2026 di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya.
Sesi strategik yang dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan ini menghimpunkan MoF, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) serta agensi-agensi pembekal data bagi memperkukuh kerjasama dan pemadanan data dalam menyokong pelaksanaan STR dan SARA.
Sebanyak 34 agensi menyertai sesi ini, manakala hampir 90 agensi telah berkongsi data bagi menyokong pelaksanaan kedua-dua inisiatif berkenaan.
Dalam ucapannya, YBhg. Tan Sri Johan menegaskan bahawa perkongsian data yang tepat, menyeluruh dan bersepadu merupakan asas penting bagi memastikan bantuan Kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Pemanfaatan data berkualiti turut membantu meningkatkan ketepatan pengenalpastian penerima serta keberkesanan penyampaian bantuan.
Sesi libat urus ini turut menjadi platform untuk berkongsi amalan terbaik, membincangkan isu dan cabaran dalam pengurusan serta pemadanan data, di samping mengenal pasti langkah penambahbaikan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan STR dan SARA.
Kerajaan akan terus memperkukuh sinergi antara agensi serta mengoptimumkan penggunaan data bagi membina sistem penyampaian bantuan yang lebih cekap, inklusif, telus dan bersasar, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI serta memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan memberikan manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.