Pilih bahasa anda
Kementerian Kewangan (MoF) meneruskan siri Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 bersama Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bagi meneliti keutamaan serta cadangan strategik dalam memperkukuh agenda reformasi perundangan dan institusi negara.
Sesi ini dihadiri oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II dan YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Perbincangan memberi tumpuan kepada perancangan strategik Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem keadilan yang lebih inklusif, progresif dan responsif terhadap keperluan rakyat. Antara fokus utama termasuk usaha memperluas akses kepada keadilan, memodenkan infrastruktur dan pengurusan mahkamah serta memperkasa inisiatif pemulihan sosioekonomi selaras dengan pelaksanaan Dasar Peluang Kedua.
Selain itu, sesi ini turut meneliti bagaimana reformasi perundangan dan institusi dapat diperkukuh melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan berkesan, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara.
Berteraskan pendekatan Belanjawan Berasaskan Outcome, MoF komited untuk memastikan setiap peruntukan Kerajaan bukan sahaja dibelanjakan secara cekap, malah diterjemahkan kepada hasil dan impak yang nyata kepada rakyat. Pendekatan ini penting bagi memastikan agenda reformasi institusi dan perundangan negara terus dilaksanakan secara mampan serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Turut hadir YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBhg. Datuk Zamri Misman, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang; serta pegawai-pegawai kanan MoF dan JPM serta Pasukan Belanjawan 2027.