Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Foto

Sesi Libat Urus bersama Pemain Industri Automotif di Tanjung Malim, Perak

Sesi Libat Urus bersama Pemain Industri Automotif di Tanjung Malim, Perak

Jelajah Belanjawan 2027 di Perak diteruskan menerusi Sesi Libat Urus bersama pemain industri automotif di Tanjung Malim, anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama DRB-HICOM Berhad. Sesi ini menjadi platform perbincangan antara Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), Kerajaan Negeri Perak dan pemain industri dari Automotive High-Tech Valley (AHTV) dalam meneliti potensi, keperluan serta hala tuju pembangunan industri automotif di negeri Perak.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II hadir bersama pemain industri bagi mendengar secara langsung pandangan serta cadangan berkaitan pembangunan ekosistem automotif dan keutamaan yang boleh dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027. Turut hadir YB Encik Loh Sze Yee, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak; YBhg. Dato’ Mohamad Haris Kader Sultan, Ketua Pegawai Eksekutif NCIA; serta YBhg. Tan Sri Syed Faisal Albar Syed A.R. Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM.

Dialog bersama industri memberi ruang kepada pemain automotif mengemukakan cadangan bagi Inisiatif Belanjawan 2027, khususnya berkaitan pembangunan sektor pembuatan dan perkhidmatan serta cabaran dalam aspek pelaburan, perindustrian dan logistik di kawasan AHTV Tanjung Malim.

Perbincangan turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh lokalisasi atau penyetempatan komponen automotif bagi memperkasa ekosistem rantaian bekalan domestik. Pada masa sama, peningkatan skala dan jumlah pengeluaran turut dikenal pasti sebagai antara faktor penting untuk menyokong daya maju pelaburan serta penyediaan infrastruktur yang diperlukan bagi memperkukuh ekosistem industri automotif.

Input yang diterima akan membantu Kerajaan menilai keutamaan pembangunan secara lebih menyeluruh, termasuk memperkukuh kerjasama strategik antara peneraju industri, vendor dan Kerajaan. Kesepaduan ini penting agar pertumbuhan industri dan ekonomi tempatan dapat diterjemahkan kepada lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi, peningkatan kemahiran, peluang perniagaan kepada perusahaan tempatan serta manfaat ekonomi yang lebih luas kepada rakyat.

Sebarang pandangan dan cadangan bagi Belanjawan 2027 boleh dikemukakan melalui Portal Cadangan Belanjawan di belanjawan.mof.gov.my.

Penyertaan rakyat dan komuniti perniagaan penting dalam membantu Kerajaan memperhalusi keutamaan Belanjawan 2027.

Arkib Foto