YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan bertemu dengan Puan Emily Jeneble, insan berbakat yang menganyam beg anyaman tradisional Sabah yang telah digunakan oleh beliau semasa pembentangan Bajet 2022 dalam sesi libat urus bersama penggiat aktiviti pelancongan di Sabah.

Puan Emily sangat teruja menceritakan tentang permintaan mendadak untuk produk komuniti sejak beg unik tersebut ditonjolkan dalam Bajet 2022. Ramai pelanggan telah menghubungi untuk membeli hasil kraftangan, malah ada yang sanggup datang ke kampungnya di Sook, lebih 4 jam dari Kota Kinabalu, semata-mata untuk membeli produknya.

Beliau sangat gembira mendengar kejayaan yang dikecapi Puan Emily. Malaysia sememangnya kaya dengan pelbagai produk kraftangan yang mutunya setanding dengan produk kraftangan antarabangsa.