Pilih bahasa anda
Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Bank Negara Malaysia (BNM) telah diadakan dengan kehadiran YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II dan YBhg. Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor Bank Negara Malaysia.
Perbincangan merangkumi pelbagai cadangan inisiatif strategik bagi memperkukuh daya tahan sosioekonomi rakyat serta memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan. Antara tumpuan utama ialah usaha memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan, memperkukuh langkah pencegahan penipuan kewangan (scam), serta menyokong pendigitalan dan pembiayaan bersasar bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Sesi ini turut memberi perhatian kepada usaha meningkatkan daya saing ekonomi negara, termasuk melalui galakan pelaburan hijau dan insentif percukaian yang bersesuaian bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan serta memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
Turut hadir YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan; YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan (MoF) dan BNM; serta Pasukan Belanjawan 2027.