Pilih bahasa anda
Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah diadakan dan dihadiri oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II dan YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan.
Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pembangunan belia dan sukan negara secara lebih bersasar dan berimpak. Antara perkara yang diberi perhatian termasuk pembangunan dan pengukuhan ekosistem serta industri sukan negara, peningkatan kebolehpasaran belia melalui latihan kemahiran berasaskan industri, serta kebajikan dan kelangsungan sosioekonomi bekas atlet.
Dalam aspek pembangunan sukan inklusif, keperluan memperkukuh pembangunan atlet para dan sukan orang pekak turut dibincangkan, termasuk penyediaan latihan yang lebih berstruktur, pencarian bakat baharu, pendedahan pertandingan serta kemudahan pengangkutan mesra OKU bagi meningkatkan keselamatan, keselesaan dan mobiliti atlet. Persediaan ini penting khususnya menjelang Temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2027.
Bagi pembangunan belia, perhatian turut diberikan kepada usaha meningkatkan kebolehpasaran melalui latihan TVET yang berasaskan keperluan industri, merangkumi latihan teknikal, pensijilan profesional serta pemadanan kerjaya. Pendekatan ini penting bagi merapatkan jurang kemahiran dan menyediakan tenaga kerja tempatan yang lebih kompeten serta bersedia memenuhi keperluan industri.
Turut hadir YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha KBS, serta pegawai-pegawai kanan MoF dan KBS bersama Pasukan Belanjawan 2027.