Pilih bahasa anda
Kementerian Kewangan (MoF) telah mengadakan Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi meneliti cadangan serta keutamaan strategik sektor kerja raya dan pembangunan infrastruktur negara.
Sesi ini dihadiri oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II; YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya; serta YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya.
Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh infrastruktur awam dan industri pembinaan negara, termasuk memastikan aspek keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan pengguna lebuh raya di seluruh Malaysia terus diberi keutamaan.
Seiring dengan perkembangan teknologi, sesi ini turut meneliti usaha menyediakan tenaga kerja masa hadapan yang berkemahiran dan berkeupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan kaedah pelaksanaan kerja pembinaan yang semakin berorientasikan digitalisasi, automasi dan teknologi pintar.
Selain itu, perhatian turut diberikan kepada langkah menangani kesesakan lalu lintas serta aduan berkaitan penyenggaraan jalan bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna. Ini termasuk keperluan mempercepat pembaikan kerosakan akibat bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh, di samping kerja pembaikan serta penggantian infrastruktur menua termasuk jambatan dan bangunan uzur.
Sesi libat urus ini merupakan sebahagian daripada proses penyediaan Belanjawan 2027 yang menekankan pendekatan menyeluruh dan berasaskan keutamaan, dengan mengambil kira keperluan pembangunan negara serta kepentingan rakyat dalam memastikan setiap peruntukan Kerajaan dapat memberikan impak yang optimum.
Turut hadir YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim, Ketua Setiausaha KKR; pegawai-pegawai kanan MoF dan KKR serta Pasukan Belanjawan 2027.