Pilih bahasa anda
Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah diadakan dan dihadiri oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II; YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; serta YB Tuan Sim Tze Tzin, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Perbincangan memberi tumpuan kepada cadangan strategik untuk meningkatkan kedudukan sektor ekonomi negara dalam rantaian nilai, memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menembusi pasaran global, khususnya pasaran frontier dan bukan tradisional, serta memperkukuh ekosistem pelaburan, perdagangan dan perindustrian negara.
Antara perkara lain yang dibincangkan termasuk struktur insentif bagi membangunkan keupayaan industri semikonduktor tempatan serta langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import. Perbincangan turut menekankan kepentingan model pembiayaan bersama (co-funding) antara Kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan penggunaan sumber yang lebih mampan dan berkesan.
Kementerian Kewangan akan menilai cadangan Belanjawan yang dikemukakan oleh MITI secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada keberhasilan yang jelas dan terukur, keupayaan pelaksanaan, kemampanan fiskal serta impak kepada rakyat dan ekonomi.
Pendekatan ini penting bagi memastikan Belanjawan 2027 bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi, malah memperkukuh daya saing industri tempatan, meningkatkan nilai tambah ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada syarikat dan bakat Malaysia.
Turut hadir YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBhg. Datuk Hairil Yahri Yaacob, Ketua Setiausaha MITI; serta pegawai-pegawai kanan MoF dan MITI bersama Pasukan Belanjawan 2027.