Pilih bahasa anda
Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah diadakan dan dihadiri oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri KPKT, YBhg. Datuk Wira Dr. M. Noor Azman Taib, Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, serta pegawai-pegawai kanan KPKT dan MoF bersama Pasukan Belanjawan 2027.
Sesi ini memberi tumpuan utama untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memodenkan kualiti persekitaran bandar. Langkah ini bertujuan memastikan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjadi lebih cekap, responsif, dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam membina komuniti yang lebih inklusif serta mampan.

Antara keutamaan yang diteliti termasuklah pemerkasaan prasarana awam menerusi perancangan lalu lintas yang lebih lancar, mitigasi banjir, dan penambahbaikan fasiliti setempat. Pada masa yang sama, tumpuan turut diberikan kepada projek baik pulih perumahan strata kos rendah dan sederhana rendah, di samping memperkasakan kesiapsiagaan pasukan bomba serta keselamatan komuniti demi menjamin kediaman yang selamat dan selesa.

Bagi menyokong gaya hidup moden dan seimbang, perbincangan turut memperluas pelaksanaan konsep Bandar Pintar MADANI berasaskan teknologi pemantauan masa nyata dan pembangunan ruang rekreasi awam berkualiti. Di samping itu, pelbagai inisiatif sokongan ekonomi belia, dana pembiayaan komuniti, serta dasar percukaian mesra alam turut disepadukan bagi memacu pertumbuhan sosioekonomi yang lebih saksama.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menilai setiap cadangan secara mendalam demi memastikan keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2027 secara menyeluruh. Kerajaan MADANI komited membina persekitaran bandar yang lebih selamat, inklusif, dan mampan untuk kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.
Sesi libat urus ini merupakan sebahagian daripada proses penyediaan Belanjawan 2027 bagi memastikan setiap cadangan dinilai secara menyeluruh dari segi keutamaan, keberkesanan pelaksanaan dan impaknya kepada rakyat.