YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan melancarkan Prinsip Tadbir Urus Baik Bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan atau Principles on Good Governance for Government Linked Investment Companies (PGG) di Kompleks Kementerian Kewangan (MOF), Putrajaya.

Dokumen PGG tersebut adalah rujukan tunggal garis asas tadbir urus dan amalan kemampanan semua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Dengan adanya rujukan tunggal garis asas tadbir urus dan amalan kemampanan, Kerajaan menyasarkan impak positif melalui penerapan PGG di dalam operasi GLIC. Pelbagai data global menunjukkan bahawa syarikat yang memberi tumpuan kepada isu ESG telah berjaya mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti pekerja, mengurangkan pelbagai risiko, serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan. Melalui pelaburan berterusan GLIC di dalam pasaran tempatan, daya tahan dan institusi GLIC yang teguh akan mengukuhkan makroekonomi negara secara langsung.

Selain daripada sentiasa responsif kepada keperluan kewangan semasa negara, inisiatif seperti PGG mencerminkan bahawa MOF juga kekal fokus terhadap kebertanggungjawaban fiskal dan penyusunan semula struktur bagi memastikan ekonomi kekal berdaya tahan dalam jangka masa sederhana dan panjang.