Pilih bahasa anda
Kementerian Kewangan (MoF) menyasarkan pelaksanaan 10 program penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) khusus untuk masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia.
Inisiatif ini bertujuan memastikan penerima STR yang tidak mempunyai akaun bank terus menerima bantuan kerajaan secara tunai dengan mudah, selamat dan teratur.
Program di Cameron Highlands merupakan lokasi keenam bagi tahun ini dan yang pertama di daerah tersebut, sekali gus melengkapkan pelaksanaan di beberapa lokasi lain termasuk Gua Musang, Rompin, Sungai Chincin dan Sungai Siput.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial, Kerajaan telah meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion pada tahun 2026, berbanding RM10 bilion pada tahun 2024. Di Cameron Highlands sahaja, seramai 2,474 masyarakat Orang Asli layak menerima manfaat di bawah kedua-dua inisiatif tersebut.
Program ini telah dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, bersama YB Dato’ Dr. Ramli Dato’ Mohd Nor, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, sebagai tanda komitmen berterusan Kerajaan dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan, tanpa mengira lokasi dan akses kepada perkhidmatan perbankan.
Selepas program penunaian STR, YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican turut mengadakan tinjauan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel di sebuah stesen minyak di Ringlet, Cameron Highlands bagi meninjau kelancaran pelaksanaan inisiatif tersebut serta mendapatkan maklum balas daripada pengusaha stesen minyak dan pengguna.