YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan sesi perbincangan bersama YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan delegasi kementerian untuk membincangkan input mereka yang dapat diterapkan ke dalam #Bajet2022.
Isu hak pengguna dan kuasa membeli adalah amat penting kepada Kerajaan dan sekiranya tidak dikawal rapi dan diselia secara berterusan, ekonomi negara kemungkinan akan tergugat terutamanya semasa negara sedang melawan pandemik COVID-19.
Keprihatinan Kerajaan dapat dilihat menerusi peruntukan kepada KPDNHEP di bawah #Belanjawan2021, antaranya adalah RM400 juta untuk menstabilkan harga minyak masak, RM200 juta bagi program pengedaran barang perlu, gas cecair petroleum (LPG) dan 'Community Drumming’ dan RM40 juta bagi subsidi tepung gandum serta program penyeragaman harga barang di Sabah.
Selain itu, bagi melancarkan transaksi ekonomi tempatan, Kerajaan telah memperuntukkan RM150 juta untuk kempen Shop Malaysia Online dengan kerjasama penyedia perkhidmatan e-commerce dan RM20 juta untuk program beli barangan buatan Malaysia di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Inisiatif-inisiatif sokongan pembeli seperti ini akan terus ditambah baik demi kesejahteraan #KeluargaMalaysia.